here for everything!

Tuesday, 28 July 2015

Makcik Karipap,

“Mak cik , nak karipap satu!.” Jerit budak  yang sedang bertinggung di hadapan pintu.
“Nak berapa?” Mak Cik itu bertanya. Suaranya parau. Di sebalik cahaya suram, wajah Mak cik Karipap itu kelihatan. Seperti nenek kebayan. Kedut seribu.
“ Nak 1, 2, 3,4,5,8 eh..eh…silap, 1,3,4,2 eh..eh..silap..” Budak itu tergagap-gagap mengira. Makin diulang makin salah.
“ Buat apa anak duduk kat luar bilik ni sorang-sorang. Tengah malam pulak tu.” Mak cik Karipap menegur. Matanya merah menyala. Dia menyeringai. Menampakkan giginya tajam tak bersusun.
“Kira selipar. 1,2,3,7,9,4,10,3 eh..eh..silap…3,5,6,1,3 eh..eh..silap..” Budak tanpa pakaian itu mengira lagi.

Nabila tak dapat menahan sedari tadi mengalir. Dia takut. Seminggu pertama dia berada di asrama ini, inilah perkara yang paling menakutkan dalam hidupnya. Cerita Hantu Mak cik Karipap dan Budak Hijau mengira kasut selalu didengar daripada senior-senior bukanlah cerita dongeng. Buktinya, dia sendiri melihat di sebalik selimut asrama yang tebal ini.  Airmatanya juga laju mengalir. Namun cuba ditahan esak tangis itu supaya makhluk itu tak sedar akan kehadirannya mendengar perbualan ‘mereka’.

“ Kau tak ada kawan ke?” Mak cik Karipap bertanya kepada Budak Hijau itu. Tak semena-mena, Budak Hijau itu menangis. Makin lama, makin sayup dan seram kedengaran.
“ Mereka semua dah tidur, tak mahu temankan saya.” Suara Budak Hijau sayu.
“ Tak semua tidur tu.” Mak cik Karipap memujuk. “Mari kita kira sama-sama.”
“ Katil nombor  1 dah tidur, katil nombor 2 dah tidur, katil nombor 3 dah tidur…” Nabila makin diburu ketakutan. Pejamlah mata, pejamlah, bisik hatinya. Semakin lama, semakin serentak Mak cik Karipap dan Budak Hijau itu mengira, semakin hampir dengan nombor katil Nabila.
“ Katil nombor  7 dah tidur, eh… katil nombor 8 tak tidur lagi, tak baik tipu tau.” Mata Nabila dan dua makhluk itu bertentangan. Nabila menjerit panjang.

No comments:

Post a Comment